Cabaran freelance website designer

website designSetiap jenis pekerjaan ada cabarannya yang tersendiri. Sama ada kerja tetap di pejabat, atau kerja sendiri jual barang atau lain-lain jenis pekerjaan, pastinya ada cabaran yang tersendiri.

Demikian jugalah dengan orang yang membuat keputusan untuk jadi freelance dalam bidang website design. Aku telah terlibat di dalam bidang ini sejak tahun 2007.

Walaupun kerja website design hanya duduk di depan komputer tetapi tak kurang juga cabaran yang ada.

Aku akan cuba senaraikan beberapa pengalaman peribadi di bawah.

  1. Cabaran untuk mencari pelanggan.
    • Sebenarnya tak kurang juga ramai orang yang cuba untuk jadi freelance untuk buat website di luar sana. Kebanyakannya bermula dengan mencari pelanggan dari kalangan sahabat handai dan ahli keluarga. Dalam hal ini, siapa yang pandai cari pelanggan, dia lah yang untung. Siapa yang tak pandai cari pelanggan, tak dapatlah apa-apa projek buat website walau bagaimana mantap sekalipun website yang dia boleh buat.
    • Tak kurang juga freelance seperti aku terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat yang memang kerja diorang ialah buat website. Mereka mempunyai pakar-pakar programming language dan IT yang bekerja dengan mereka. Demikian juga portfolio mereka yang dipenuhi dengan website-website gergasi yang mereka telah buat.
  2. Cabaran pelanggan luar negara.
    • Apabila kita mendapat pelanggan di luar negara perkara pertama yang perlu dibuat ialah penetapan harga. Kerana di luar negara harga website kadangkala lebih murah dan kadangkala lebih mahal berbanding harga di tempat kita. Pengalaman aku, harga yang aku tawarkan memang tersangat rendah berbanding harga di tempat sendiri kerana bukan mudah bagi mereka untuk mendapat kepercayaan, terutamanya daripada orang luar.
    • Selain itu faktor timezone juga kadangkala menjadi masalah. Sebab masa kita dengan masa mereka jauh berbeza. Misalnya 12 malam bagi kita mungkin 12 tengahari bagi mereka. Dan itulah waktu mereka aktif dan mahu berkomunikasi. Jadi terpaksalah mengorbankan tidur demi melayan pelanggan-pelanggan luar negara.
    • Faktor kepercayaan sangat penting bagi pelanggan luar negara. Kerana kita sepanjang masa berkomunikasi hanya dengan email. Kita tak kenal mereka dan mereka tak kenal kita. Tak kurang juga ada yang tak bayar dan sebagainya. Semua itu memang cabaran bagi seorang website designer.
  3. Cabaran untuk menerangkan harga website.
    • Bagi orang-orang yang dah biasa buat website mungkin diorang boleh kategorikan website ni kepada beberapa jenis. Semuanya bergantung kepada fungsi yang dikehendaki oleh pelanggan. Ada website untuk profil kompeni, blog, forum, portal, e-commerce, affiliate dan lain-lain.
    • Walaupun bagi website designer yang cekap, untuk membuat kesemua jenis website itu adalah mudah, namun dari segi harga sudah tentu ianya berbeza.
    • Apa yang menjadi cabaran adalah bagaimana untuk menerangkan kepada pelanggan perbezaan kesemua jenis website itu dan apa yang perlu dibuat untuk mendapatkannya. Kerana mungkin mereka merasakan bahawa semua jenis website itu sama sahaja.
    • Demikian juga susah untuk menetapkan harga jika sekiranya pelanggan mahukan itu dan ini.. Apabila diterangkan jenis website yang ada maka seolah-olah mereka mahukan kesemuanya!
  4. Cabaran pelanggan tiada pengetahuan tentang website.
    • Antara perkara biasa yang diberitahu oleh pelanggan ialah mereka mahukan website. Tetapi apabila ditanya lebih lanjut tentang kriteria website yang mereka kehendaki, mereka tidak tahu untuk menjawabnya.
    • Ramai juga yang mahukan website mereka jadi famous di dalam google sekelip mata. Dan mereka menyangkakan bahawa itu tugas website designer. Sedangkan website design dan SEO itu adalah perkara yang berbeza.
    • Perkara ini sangat mencabar apabila kita terpaksa menerangkan sedaya mungkin supaya pelanggan faham, terutamanya pelanggan yang zero knowledge tentang internet, apatah lagi SEO.
    • Demikian juga dengan pelanggan yang memberikan imej di dalam format Microsoft Words. Satu hal pulak kita sebagai website designer nak kena retouch dan edit imej-imej tersebut supaya sesuai dan boleh dimasukkan ke dalam website. Memang penting selain daripada pengetahuan buat website, kena ada juga at least basic graphic design knowledge.
    • Ada juga pelanggan yang tidak tahu menggunakan komputer dan perlu dibimbing cara untuk menghantar file di dalam email dan sebagainya. Kesemua itu memang cabaran dan mungkin bagi orang yang tak sabar, dah lama ditinggalkan bidang ini.
  5. Cabaran tiada respond dari pelanggan.
    • Walaupun kita sudah faham apa yang pelanggan kehendaki, cabaran lain pula ialah nak mendapatkan maklumat daripada pelanggan untuk website mereka.
    • Ramai orang mahukan website tetapi pada hakikatnya mereka belum bersedia dengan maklumat yang sepatutnya. Tiada profil syarikat, tiada sebarang tulisan, tiada imej, logo dan sebagainya.
    • Akibatnya ialah walaupun website tersebut telah siap tetapi ianya kosong. Apabila website itu kosong, memanglah ianya nampak tak canggih, tak berfungsi dan sebagainya.
  6. Cabaran pelanggan di kalangan kawan-kawan.
    • Nak cari pelanggan satu hal. Bila dah ada pelanggan tetapi di kalangan kawan-kawan pun satu hal juga. Sempadan professional tu selalunya akan hilang apabila berhadapan dengan kawan-kawan.
    • Kita terpaksa berlebih kurang dengan mereka dan kadangkala terpaksa membuat sesuatu yang lebih untuk website mereka, memandangkan mereka itu kawan-kawan.
    • Kadangkala pembayaran menjadi kelam kabut dan tak kurang juga yang minta diskaun dan ansuran. Dan apabila sesuatu perkara negatif yang di luar bidang berlaku maka kita jugalah yang terpaksa bertanggungjawab memandangkan mereka adalah kawan.
  7. Cabaran tidak mendapat bayaran.
    • Perkara ini semua orang sedia maklum. Antara cabaran yang terbesar adalah apabila kita tidak mendapat bayaran penuh. Kerana itu aku lebih suka deposit dibayar sebelum website mula dibuat. Dan aku juga lebih memilih untuk memegang akaun hosting sebelum pembayaran penuh dibuat oleh pelanggan.

Selain daripada perkara-perkara di atas mungkin ada lagi cabaran lain yang dirasakan oleh freelance yang lain.

Walau apa pun cabaran yang datang, itu bukanlah bermakna aku rasa susah dan berputus asa. Sebaliknya semua perkara itu mengajar aku untuk menjadi orang yang lebih matang dan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dan desakan hidup yang lain.

Aku bersyukur kepada Allah, kerana sepanjang pengalaman aku menjadi freelance website designer ini aku masih dapat bersabar dan bertahan walaupun pelanggan aku tak banyak mana pun… Alhamdulillah, segala puji bagi Allah.

15. April 2012 by fendy
Categories: Perniagaan Internet | Tags: , , , , , | Leave a comment

← Older posts

Newer posts →