Umrah dan Ziarah Jun 2012 – Bahagian 1

Alhamdulillah segala puji hanya bagi Allah yang telah memilih saya beserta ibu dan seorang sepupu lelaki untuk mengerjakan ibadat umrah dan ziarah pada bulan Jun yang lepas. Bagi menunjukkan kegembiraan tersebut, di sini saya kongsikan serba sedikit pengalaman mengerjakan umrah dan ziarah, moga-moga dapat dimanfaatkan bersama.

Topik yang akan diceritakan :-Umrah dan Ziarah

  1. Kursus Umrah dan Ziarah.
  2. Persediaan sebelum berangkat.
  3. Di KLIA sebelum berangkat.
  4. Berlepas dari KLIA ke Madinah.
  5. Suasana di PMAA.
  6. Menuju ke tanah haram kota Madinah.

Ternyata pemergian saya ke tanah suci adalah pilihan Allah semata-mata. Kerana jika handak difikirkan kemampuan, memanglah ianya diluar kemampuan saya. Begitu jugalah dengan ibu saya.

Alhamdulillah berkat azam yang saya tekadkan di dalam hati untuk menunaikan haji, akhirnya Allah memilih juga untuk ke tanah suci. Walaupun bukan untuk mengerjakan haji tetapi saya sangat bersyukur. Memang benar, azam di dalam hati mesti disematkan terlebih dahulu sebelum kita dipilih oleh Allah untuk membuat kebaikan tersebut.

 

Bukan tujuan saya untuk mempromosikan syarikat travel di dalam artikel ini. Jadi saya sama sekali tidak akan memberitahu nama syarikat tersebut walaupun ada yang bertanya. Harap maklum.

Kursus Umrah dan Ziarah.
Pada 10 Jun 2012 kursus umrah dan ziarah diadakan oleh pihak travel. Kursus umrah dan ziarah dibimbing oleh Ustaz Rosli dari Madrasah Tahfiz Janda Baik. Penerangan yang dibuat adalah ringkas dan padat serta diselangi dengan nasihat-nasihat agar mengikuti sunnah nabi dalam beribadat. Jelas daripada penerangan ustaz, menunjukkan luasnya pengalaman ustaz yang sudah berkali-kali membawa jemaah haji dan umrah.

Kemudian penerangan ringkas tentang situasi semasa di Mekah dan Madinah diterangkan oleh pengarah syarikat travel tersebut yang baru sahaja 2 hari pulang daripada membawa jemaah umrah dan ziarah. Menurut beliau, banyak perubahan sedang berlaku di Mekah iaitu banyak hotel-hotel berdekatan Masjidil Haram yang dirobohkan. Maka tidak timbul lagi soal mereka-mereka yang inginkan pakej travel yang mendapat hotel dekat dan sebagainya. Kerana semua hotel dekat sudah dirobohkan.

Beliau juga menerangkan keadaan suhu di sana yang mencecah 51 darjah celcius. Semasa suhu tersebut diberitahu, saya dapat memerhatikan bahawa ada juga yang kelihatan risau dengan kepanasan tersebut berbanding suhu di Malaysia yang kebiasaannya hanya 27 darjah celcius. Alhamdulillah pengalaman saya ke India pada musim panas sedikit sebanyak melegakan saya kerana sudah biasa dengan suasana musim panas.

Namun saya memujuk hati agar tidak berasa sombong kerana di tanah suci adalah tempat di mana Allah menguji dan mentarbiah hambaNya. Jika kita berlagak sombong, berkemungkinan Allah akan menguji kita dengan ujian yang hanya kita seorang sahaja merasainya.

Sepanjang kursus, saya dan ibu beberapa kali bertanya tentang kerusi roda memandangkan saya akan menolak ibu menggunakan kerusi roda di sana. Ibu boleh berjalan tetapi tidak boleh berjalan jauh kerana kakinya akan sakit teruk. Nampaknya adalah sangat baik jika kami membawa kerusi roda sendiri ke sana. Walaupun kadangkala lelaki dan wanita tidak boleh bercampur di sesetengah tempat namun di tempat yang lain, saya masih lagi boleh menolak ibu saya.

Setelah tamat kursus, kami saling berkenalan antara satu sama lain. Alhamdulillah Ustaz Rosli akan mengetuai jemaah saya dan bersama-samanya ada 5 orang pelajar tahfiz juga turut serta di dalam perjalanan umrah dan ziarah ini.

Persediaan sebelum berangkat.
Sebelum berangkat, saya dan ibu sibuk membuat persediaan untuk mengerjakan ibadat umrah dan ziarah ini. Dengan pengalamannya mengerjakan haji hampir 20 tahun yang lepas, ibuku menyediakan banyak doa-doa dan zikir yang akan digunakan sepanjang mengerjakan ibadat umrah dan ziarah nanti. Termasuklah ayat untuk disimpan di dalam beg supaya kastam tidak memunggah beg dan juga ayat-ayat untuk mengelakkan panas di tanah suci.

Selama seminggu tersebut saya memang agak sibuk dengan urusan persediaan ini. Untuk memudahkan urusan mengeluarkan wang dari bank di sana, ibuku membuka akaun Bank Al-Rajhi kerana di sana memang banyak cawangan dan ATM Al-Rajhi. Saya pula hanya mengaktifkan kad ATM Maybank saya untuk luar negara supaya saya boleh mengeluarkan wang melalui ATM di sana.

Kami juga melabel beg-beg kami dengan selotape kain berwarna kuning supaya mudah dikenali. Walaupun beg kami ada jenama syarikat travel namun lebih baik jika tanda sendiri dibuat supaya tidak bertukar dengan beg-beg orang lain.

Tak cukup dengan itu, saya dan ibu turut membuat persediaan jika sekiranya dipilih oleh Allah untuk mati di tanah suci. Ibu telah menulis surat kepada abang-abang saya dan membuat beberapa persediaan lain. Saya juga telah menulis semua maklumat bank saya dan menyerahkannya kepada kakak untuk disimpan. Memang kami berdoa supaya dipilih untuk mati di sana. Semasa kursus juga sering diberi targhib agar berdoa supaya mati di sana terutamanya di Madinah.

Di KLIA sebelum berangkat.
Tanggal 15 Jun 2012, sebelum subuh lagi kami sudah berangkat menuju ke KLIA. Kami menuju ke surau untuk menunaikan solat subuh. Kelihatan ramai jemaah umrah yang lain juga berkumpul di KLIA. Boleh dikatakan KLIA dipenuhi dengan jemaah-jemaah umrah dan ziarah.

Semasa solat subuh, saya seperti mengenali seorang yang berserban dan berjubah tebal yang bersolat di sebelah saya. Bukannya saya perhatikan wajahnya. Serbannya pun sudah cukup mengingatkan saya kepadanya. Apabila keluar dari surau, kakak saya yang menunjukkan beliau kepada saya. Rupa-rupanya beliau adalah Dr Muhammad Uthman el-Muhammady. Memang sah lah itu dia yang saya sangkakan. Cuma saya tak pasti sama ada dia akan ke tanah suci atau akan ke tempat lain.

Selepas solat kami menunggu di pintu seperti yang dijanjikan. Flight pada jam 10 pagi. Nampaknya kami antara yang paling awal sampai ke KLIA. Setelah itu kami bersarapan di sebuah kafe berdekatan. Nasi lemak RM7.90 sepinggan. Alhamdulillah merasa jugak makanan mahal. Kalau tak terpaksa memang tak makan dah di situ. Setelah selesai, kami berkumpul semula di tempat tadi dan seorang petugas meminta kami menuliskan nama serta alamat waris, jika ada apa-apa berlaku.

Selepas masuk ke balai pelepasan, saya mengambil peluang terakhir untuk menghantar SMS kepada kawan-kawan untuk memberitahu tentang keberangkatan saya ke tanah suci untuk menunaikan umrah dan ziarah. Risau juga sekiranya ramai yang mengirimkan salam kepada baginda Rasulullah S.A.W. kerana dikhuatiri tidak terbuat, maka tertanggunglah tugas untuk menyampaikan salam tersebut sampai mati. Kalau kiriman salam itu sudah diterima oleh seseorang maka wajiblah dia melakukannya. Namun jika dia tidak menerima maka tidak mengapa.

Risau juga kalau ada yang memesan barang itu dan ini. Memang benarlah pesan sesetengah orang supaya jangan membebankan orang yang hendak ke tanah suci dengan apa-apa pesanan. Sebab dikhuatiri dia tidak dapat melaksanakannya dan tertanggunglah dosa kepadanya.

Alhamdulillah hanya 2 orang yang mengirimkan salamnya kepada Rasulullah S.A.W. Yang lain hanya mendoakan kebaikan kepada saya. Saya pun tidak mengaku bersetuju untuk menyampaikan salam tersebut. Kerana saya begitu risau jika tidak terbuat memandangkan ini adalah pengalaman pertama saya ke sana dan tidak tahu menahu tentang suasana di sana. Dan tempoh di Madinah pula hanya 3 hari. Risau yang teramat sangat jika tidak sempat menyampaikan salam tersebut. Akhirnya saya menutup handphone dan bersiap sedia untuk menaiki kapal terbang.

Berlepas dari KLIA ke Madinah.
Semakin ramai jemaah kami berkumpul dan akhirnya kami memasuki kapal terbang MAS untuk mengambil seat. Nampaknya seat MAS kali ini agak sempit berbanding pengalaman saya menggunakan MAS untuk ke Sabah sebelum ini. Sebelum ini seat hanya berdua dan agak luas serta selesa. Kali ini seat bertiga dan berempat serta sangat sempit. Cukup-cukup untuk duduk sahaja.

Sepanjang penerbangan 2 kali makanan dihidangkan. Alhamdulillah kami sangat enjoy makan dalam flight. Inilah antara sebabnya mengapa saya suka naik kapal terbang. Sebab makanannya! Ibu juga begitu. Bukannya tak takut naik kapal terbang. Memang takut pun. Terutamanya apabila cuaca hujan dan kilat sabung menyabung. Sangat menakutkan.

Alhamdulillah flight kami tidak bertembung dengan mana-mana waktu solat. Jadi kami tidak perlu bersolat di dalam kapal terbang. Bukannya susah untuk bersolat di dalam kapal terbang. Cuma masalah yang selalu timbul adalah dengan pramugari-pramugari MAS.

Sepanjang flight permulaannya cuaca adalah baik namun di hujung-hujungnya cuaca agak buruk. Apabila kapal terbang bertembung dengan awan maka ia akan sedikit bergegar dan ini amat mencemaskan. Saya sudah bersiap sedia untuk mati di tanah suci. Tetapi sebagai manusia biasa, hati saya tidak lari daripada perasaan takut dan cemas.

Apabila goncangan berulang-ulang, saya mula berasa loya. Memang saya agak mudah berasa loya. Nafas menjadi pendek dan laju. Pada saat itu saya teringat untuk memejamkan mata supaya dapat mengurangkan rasa loya dan pening. Alhamdulillah akhirnya sesi yang mencemaskan itu berakhir dan kapal terbang mendarat dengan baik di lapangan terbang Madinah iaitu Prince Mohammad Bin Abdulaziz Airport (PMAA).

Sebelum mendarat, sempat juga saya menukar SIM card handphone Mobily yang dibeli sebelum ini untuk kegunaan di sana. Harga belian RM50 dan mendapat kredit 40SAR di dalam baki.

Suasana di PMAA.
Sebelum mendarat di sana, pilot kami memberitahu waktu tempatan dan juga suhu tempatan iaitu 46 darjah celcius. Tak sabar rasanya untuk merasakan suhu tersebut di luar kapal terbang. Kami turun daripada kapal terbang dengan tangga. Ibu yang sakit kaki juga terpaksa turun menggunakan tangga walaupun dia begitu fobia dengan tangga. Nasib baik turun tangga lebih mudah berbanding naik tangga.

Kemudian kami beramai-ramai bersama jemaah lain menaiki bas untuk perjalanan ringkas sepanjang beberapa puluh meter sahaja untuk masuk ke dalam airport. Mungkin mereka ingin mengelakkan para jemaah kepanasan kot. Alhamdulillah walaupun suhu dikatakan 46 darjah celcius, tetapi nampaknya ia masih boleh diterima. Sedikit sebanyak perasaan risau tentang panas itu hilang dari hati kami.

Proses imigresen sangat memakan masa. Sebelum ini kami sudah diberitahu supaya bersabar dengan kerenah dan kebiasaan orang arab yang kadangkala membuat kerja sambil lewa. Maka memang benarlah perkara itu berlaku dan kami terpaksa banyak bersabar.

Perasaan marah perlu dipendam memandangkan menghormati dan memuliakan penduduk Madinah adalah satu tuntutan yang sangat berat di dalam agama. Perkara ini diterangkan dengan lebih lanjut di dalam kitab Fadhilat Haji karangan Maulana Muhammad Zakariyya Al-Kandhlawi rah.a yang menjadi kitab rujukan saya dan ramai jemaah yang lain.

Setelah selesai dengan imigresen, kami menaiki bas dan seorang anak muda memperkenalkan dirinya menggunakan mikrofon. Rupa-rupanya itulah mutawif kami sepanjang di sana. Ustaz Edi Saregar namanya. Seorang pelajar agama di Mekah dan berasal daripada Indonesia. Memang kebanyakan mutawif di sana adalah warga Indonesia. Sangat sedikit mutawif di sana warga Malaysia. Sehinggakan mutawif bagi pihak Tabung Haji juga adalah warga Indonesia.

Menuju ke tanah haram kota Madinah.
Sepanjang perjalanan menuju ke tanah haram Madinah, Ustaz Edi menceritakan sedikit sebanyak adab, doa dan sebagainya sebelum memasuki kota suci Madinah. Madinah bukanlah kota yang biasa. Ia adalah kota yang dipilih oleh Allah untuk disemadikan jasad suci murni baginda Rasulullah S.A.W. Maka selayaknyalah ianya dimuliakan sedemikian rupa.

Bukan sahaja kota tersebut perlu dimuliakan, bahkan penduduk-penduduknya pun perlu dimuliakan. Bukan sahaja penduduknya perlu dimuliakan, bahkan kawasan berhampiran Madinah juga perlu dimuliakan. Termasuklah kesemua pekerja-pekerja di sana walaupun mereka pendatang dari luar negara terutamanya dari India, Pakistan dan Bangladesh, tetap mereka perlu kita muliakan. Demi kerana kemuliaan baginda Rasulullah S.A.W.

Di dalam kitab Fadhilat Haji diterangkan dengan begitu jelas tentang adab-adab dan sunnah memasuki kota Madinah. Dari segi perasaan, perlulah memasuki kota Madinah dengan memikirkan bahawa di situ lah tempatnya baginda Rasulullah S.A.W. menjalankan usaha agama dan di situ jugalah tempat bersemadinya jasad suci murni baginda Rasulullah S.A.W.

Perasaan sayu dan hiba merangkumi hati kami apabila semakin dekat kami ke sana. Doa memasuki tanah haram Madinah dibaca. Sekaligus perasaan hiba dan malu untuk bertemu baginda Rasulullah perlu diwujudkan di dalam hati. Di situlah baginda berada. Sesiapa yang menziarahi baginda semasa baginda telah wafat, sama seperti menziarahi baginda semasa baginda masih hidup. Di situlah baginda berada.

Sekian lama diri ini berdosa dan melupakan baginda. Mulut sekian kali menyebut nama baginda tetapi sekali pun tidak pernah menziarahi dan bertemu dengan baginda. Sudah bersediakah hati ini untuk bertemu dengan baginda. Sudah siapkah untuk bertemu baginda dengan membawa dosa setinggi gunung. Selawat dan salam ke atas baginda Rasulullah S.A.W. serta keluarganya, serta para sahabatnya.

Anda mungkin meminati artikel ini :



Sebarkan artikel ini kepada orang lain jika anda menghargainya :-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>