Satu pagi aku turun untuk mengubah kereta supaya lebih dekat dengan kawasan lif. Seminggu dua ini aku memang sibuk mengangkut barang ulang alik ke rumah baru. Jadi kalau kereta lebih dekat, senang lah sikit untuk mengangkut barang. Selepas mengubah kereta, aku membeli nasi lemak di depan parking kereta. Rasanya sudah lebih sebulan aku tidak merasa nasi lemak di situ.
Semasa menunggu, terdengar bincang-bincang tentang curi kereta daripada pakcik dan makcik di situ. Memang kalau nak dengar cerita sensasi, tempat berkumpul cam tu lah tempatnya. Sebijik kereta dengan nombor pendaftaran dari Thailand terdampar di kawasan apartment pagi itu. Bonet kereta, signal dan bermacam-macam lagi bahagian kereta telah hilang. Pakcik makcik di situ menyumpah seranah orang yang mencuri tersebut.
Kata salah seorang daripada mereka, “di sini sebut aje, penyamun, perompak, pencuri, semua ada!” Sorang pakcik berkata, “kereta aku pun hilang sebijik dulu.” Kemudian seorang lagi menyampuk, “moto aku pun kena curi gak kat sini.” Seorang lagi berkata, “aku pula, tiga bijik moto kena curi. Dua yang baru, satu yang lama.” Dan bermacam-macam lagi cerita diperkatakan di situ.
Demikianlah bahaya dan risiko yang ditanggung oleh kebanyakan penduduk di flat atau apartment dan tak kurang juga yang duduk di kondo. Oleh kerana tidak mempunyai peluang untuk memerhatikan kenderaan masing-masing sepanjang masa, maka para pencuri mengambil peluang itu untuk membuat kerja mereka.
Mana mungkin seseorang itu asyik memerhatikan kenderaannya dari luar tingkap ke bawah, iaitu tempat parking. Apatah lagi kalau rumahnya bukan menghadap ke arah tempat parking.
Siapa yang sanggup berjalan setiap malam atau sepanjang malam untuk menjaga keselamatan kenderaan di tempat parking. Pak guard? Adakah pak guard sanggup buat begitu sepanjang malam di seluruh kawasan parking? Apartment aku yang 2 blok sahaja pun kawasan parkingnya kalau nak berjalan, kena keliling kedua-dua blok. Kerana orang yang parking moto, di sekeliling blok diorang letak. Bila pak guard ke kanan, pencuri boleh ke kiri. Bila pak guard ke kiri, pencuri boleh ke kanan. Bila pak guard pergi kencing atau menyembang dengan member, pencuri ketawa gembira. Kalau tidak, masakan satu ketika dulu di Vista Angkasa, Pantai Dalam, belasan kereta wira dicuri dalam satu masa. Apartment aku yang duduk di sebelah balai polis pun selalu berlaku kecurian…
Jadi, memang faktor keselamatan menjadi kebimbangan utama bagi penduduk di kawasan flat dan apartment. Lain lah dengan penduduk rumah teres. Kereta atau moto berada di dalam pagar. Kalau nak curi, pencuri kena lompat pagar atau potong kunci pagar. Sekali pandang dari dalam rumah, kita dah boleh nampak kelibat pencuri. Lampu di luar rumah pun boleh dibuka terang benderang. Bahkan kalau kereta diletak diluar pagar pun, susah pencuri nak buat kerja, kerana anjing-anjing di rumah jiran akan menyalak sakan apabila melihat orang yang tidak dikenalinya.
Memang kena fikir panjang lah di mana kita nak tinggal. Kalau sekali kena, boleh terduduk kita dibuatnya. Cubalah bayangkan kalau kita keluar daripada lif untuk pergi kerja, tetiba kenderaan kita cari tak jumpa!
Kongsi cerita ini dengan rakan anda!

Recent Comments