Cerita Belanja Kahwin


Kahwin ni salah satu keperluan manusia. Dulu-dulu belajar Pendidikan Islam, kahwin ni ada 5 hukumnya. Sama ada wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Bergantung kepada keadaan tertentu, hukum tersebut boleh berubah. Aku pun tak tahu untuk aku sekarang apa hukumnya. Hehehe…

Anyway, bukan itu yang ingin aku perkatakan pada ketika ini. Aku cuma ingin menyalurkan kebimbangan aku tentang perkahwinan pada zaman ini yang semakin hari semakin susah jadinya. Sedangkan aku rasa peratusan hukum “wajib” semakin hari semakin tinggi jika nak dibandingkan dengan peratusan hukum “sunat” atau “harus”.

Tapi, banyak perkara sebenarnya yang menyebabkan perkahwinan hari ini menjadi susah dan bertambah susah. Tak lain dan tak bukan puncanya ialah kerana lemahnya iman di dalam hati manusia. Apabila cinta dunia bertapak di dalam hati, maka susahlah manusia mahu mengikuti sunnah dan adab dalam perkahwinan. Apabila sesuatu perkahwinan itu tidak mengikuti sunnah dan adab maka rosaklah perkahwinan itu dan dikhuatiri rosaklah rumahtangga itu.

Perkara utama yang dipengaruhi ialah faktor kewangan. Iaitu apabila perkahwinan tidak mengikut sunnah dan adab, maka kos untuk menjalankan perkahwinan itu menjadi terlalu tinggi. Sedangkan salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W apabila dia berkahwin, baginda Rasulullah S.A.W sendiri tidak mengetahuinya. Sebaliknya kita hari ini, dengan alasan mahu memberitahu orang ramai, maka kos perkahwinan melambung-lambung tinggi. Sehinggakan kalau ada orang buat kenduri kahwin jamu mee kuah untuk sanak saudara, pasti akan dipandang remeh.

Kita ni sebenarnya letak sesuatu perkara tu tak kena pada tempatnya. Kadangkala majlis pertunangan pun dibuat seolah-olah kenduri utama. Aku pernah menghadiri kenduri majlis pertunangan seperti ini. Wah, bagi aku kos kenduri pertunangan itu pun sudah terlalu tinggi dan kalau nak ikutkan aku, boleh buat 4-5 orang punya kenduri kahwin dengan kenduri seperti itu. Sedangkan itu hanya majlis pertunangan sahaja, bukan nikah lagi. Cuba bayangkan bagaimana pula dengan kenduri nikahnya…

Mungkin ramai yang tak tahu bahawa sebenarnya bab-bab nikah kahwin ni bukan semua perkara perlu dihebohkan. Contohnya majlis pertunangan. Sebenarnya tak perlu buat majlis pun. Dan menjadi sunnah bahawa pertunangan ini tidak diketahui oleh orang lain langsung. Kerana pertunangan masih belum pasti akan sampai ke tahap nikah. Sekiranya pertunangan putus, maka kedua-dua pihak akan mendapat malu besar. Itulah salah satu daripada hikmahnya sunnah nabi S.A.W.

Dalam perkahwinan ini, hanya majlis walimah sahaja yang berbentuk syiar. Pertunangan pula elok disembunyikan. Sebab itulah apabila kita tidak mengikuti sunnah dan adab maka kos menjadi terlalu tinggi. Sedangkan semua orang pasti bersetuju bahawa pasangan pengantin itu, lebih memerlukan wang SELEPAS mereka berkahwin, berbanding SEBELUM berkahwin.

Baginda nabi ada berpesan kepada sahabat agar sekurang-kurangnya sembelihlah seekor kambing untuk walimah. Cuba fikirkan, bagi orang arab, seekor kambing sebenarnya 2-3 orang makan pun kadangkala tak cukup. Orang melayu mungkin seekor kambing dapat 30-40 orang makan. Tapi orang arab? Aku pernah dengar, seekor seorang pun ada. Entah la betul atau tidak. Maksud aku ialah, memang ada perintah untuk buat walimah. Walimah memang sunnah nabi. Tapi apa yang kita buat sekarang, sampai terpaksa berhutang sana sini untuk buat walimah, tempah dewan, tempah meja berhias, tempah catering, semua ini ketara sungguh ketinggian kosnya. Adakah itu tujuan walimah?

Ada juga yang buat walimah sebelum pengantin sempat “bersama” sedangkan sunnahnya ialah membuat walimah selepas pasangan “bersama”. Mungkin sebab itulah ada istilah orang melayu iaitu walimatul urus dan walimatud dukhul.

Sebenarnya banyak perkara hukum yang dilanggari oleh orang sekarang dalam hal perkahwinan. Tak kira lah sama ada orang itu orang biasa ke, orang ternama ke, orang masjid ke, semua sama je. Kalau nak disenaraikan di sini memang panjang la jadinya. Cuma apa yang ingin aku khususkan dalam artikel kali ini ialah bab kewangan. Iaitu sepertimana kita semua tahu, kerana kos yang terlalu tinggi untuk berkahwin ini lah, maka ramai orang tak dapat nak berkahwin. Bahkan bila hukum dah sampai tahap “wajib” datang, tetapi dia tak dapat nak kawin, maka macam-macam hal lah yang berlaku, termasuklah perkara-perkara dosa besar.

Percaya atau tidak, semasa aku tahun akhir di sebuah U, seorang budak yang aku tak kenali tiba-tiba datang berjumpa aku di surau semasa aku sedang duduk-duduk di surau. Katanya, apabila dia melihat aku, dia rasakan aku ini boleh diharapkan maka dia pun menceritakan bahawa dia sebenarnya sudah 3 kali berzina. Aku tahu dia masih seorang student di U tersebut.  Kemudian dia meminta nasihat pada aku. Dan aku pun dengan apa yang terdaya (aku bukan ustaz pun…) memberi sedikit sebanyak nasihat supaya dia dapat membuat usaha memperbaiki imannya untuk mengelakkan perkara itu berterusan.

Selain itu, amalan jual anak dah jadi perkara biasa sekarang ni. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Akhirnya, istilah jual anak tidak lagi dipakai walaupun secara terang-terangan orang suka menjual anak. Kalau SPM 5000-6000, kalau ijazah 8000-9000 kalau ada master PhD entah la.

Bila orang sebut “jual anak” maka mereka akan menjawab bahawa itu bukan menjual anak tapi sebagai tanda “penghargaan” seorang lelaki terhadap isterinya. Maksudnya kalau bayar sikit, kurang lah penghargaannya, kalau bayar banyak, besar lah penghargaannya. Begitu ke makcik-makcik?

Makcik-makcik sekalian, kalau makcik-makcik nak, letak le tinggi-tinggi, biar sampai jadi andartu, kita tengok siapa nak hargai siapa. Adakah si lelaki perlu menghargai perempuan yang sudi mengahwininya atau si perempuan yang perlu berterima kasih kepada lelaki kerana sudi mengahwininya, pada saat semua orang lelaki lain dah tak nak andartu…

Sebenarnya kita ni tak tahu bencana besar yang sedang kita semai dengan amalan mengarut di dalam perkahwinan ni. Aku pernah sekali berpengalaman membantu seorang kenalan ke Pejabat Agama Daerah kerana dikatakan sijil kahwinnya dahulu tidak sah. Maka setelah merujuk nombor rujukan pada sijil kahwin, ternyata sijil tersebut palsu dan sebenarnya mereka dinikahkan oleh geng sindiket.

Setelah mengetahui latarbelakang ceritanya, barulah diketahui bahawa mereka kahwin di negeri lain. Dan untuk mengurangkan kos perkahwinan, mereka kahwin senyap-senyap dengan wakil wali oleh tok kadi. Akhirnya sekarang apabila sudah ada anak, nama anaknya ber “bin” kan Abdullah, walaupun mempunyai ayah yang sah.

Akibatnya orang itu perlu memasuki mahkamah dan jika mahkamah memutuskan pernikahan itu sah, maka mereka akan didenda sebanyak RM2000 untuk mendapat sijil kahwin yang sah. Sekiranya mahkamah memutuskan pernikahan itu tidak sah, maka mereka perlu lah dinikahkan semula.

Sebab itu lah aku harapkan lebih ramai orang-orang yang “faham” kehendak agama yang sebenar di dalam perkahwinan dan sekaligus akan menghapuskan fahaman “perkahwinan orang sekarang” ni. Semoga kelak perkahwinan cara sunnah dan beradab yang lebih menjadi pilihan orang ramai sama ada orang itu orang biasa, orang ternama lebih-lebih lagi orang masjid.

Semoga Allah mudahkan urusan kita semua. Sememangnya hanya apabila kita menjalankan usaha atas iman sahaja masalah akan selesai.

Kongsi cerita ini dengan rakan anda!

Kongsi bersama:
  • Add to favorites
  • RSS
  • email
  • Print
  • Facebook
  • Twitter
  • Digg
  • del.icio.us
  • Google Bookmarks
  • Live
  • MSN Reporter
  • MySpace
  • StumbleUpon
  • Technorati
  • Yahoo! Bookmarks
  • Yahoo! Buzz
  • Reddit
  • LinkedIn
  • NewsVine
  • SphereIt
  • Mixx

Artikel berkaitan:

, , , ,

  1. #1 by syafeeq on 23/01/2010 - 4:07 pm

    itulah pasal..
    biler adab dah jadi adat masalah jadinye..
    semoga dimudahkan…

  2. #2 by Fendy on 25/01/2010 - 12:29 am

    Besok-besok kita dah ada anak jangan le buat hal cam tu pulak… Agama ni memang bertentangan dengan nafsu pun…

(will not be published)