Terasa keras jari ini untuk menulis semula setelah sekian lama tiada di hadapan komputer. Karguzari takaza Padang pun tak sempat aku tuliskan di sini. Tetapi satu kejadian berlaku pada aku malam semalam menyebabkan aku tetiba bersemangat untuk menulis. Poyonya…
Semalam aku gi mesyuarat KL. Aku tak dapat balik awal lepas isyak sebab lepas tu ada mesyuarat jemaah tasykil pula. Memandangkan jor kawasan dan jor Isnin ini akan berlansung maka jemaah tasykil perlu memainkan peranan sepenuhnya.
Selesai mesyuarat jemaah tasykil, aku singgah ke rumah Kurin (bukan nama sebenar) untuk mengambil cop kompeni aku yang diciloknya semasa aku di Padang, Indonesia. Setelah bersembang bujang beberapa lama, aku pun bertolak balik dari rumah Kurin.
Terdetik di dalam hati aku untuk mengisi minyak moto tapi tadi tengahari semasa aku check, minyak masih banyak. Meter minyak moto aku dah lama rosak. Maka aku meneruskan perjalanan sambil mulut aku mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran secara jihri (kuat). Chewah!
Sampai di trafik light, tetiba moto aku berhenti sendiri. Sudah! Memang sah minyak habis! Ini ialah kejadian yang ke berapa belas pun aku tak kira. Memang selalu moto aku habis minyak tengah jalan. Dah banyak kali aku terpaksa berjalan kaki membeli minyak atau menolak moto ke stesen minyak.
Sejurus selepas moto aku mati, timbul beberapa buah fikiran daripada kepala hotak aku. Dalam hal ni kita boleh pelajari beberapa perkara.
Pertama sekali yang aku teringatkan ialah si Kurin. Memandangkan aku memang banyak berjasa kepadanya, dan dia pun memang dilahirkan untuk membantu orang lain, maka aku berasa amat patut untuk menelefon dan meminta bantuan daripadanya. Terlintas di hati aku, sejak bila aku jadikan si Kurin ini sebagai penyelesai masalah aku? Bukankah yang memberi dan menyelesaikan masalah aku ialah Allah? Maka terus aku membatalkan niat aku tadi dan terus turun daripada moto dan menolak moto.
Jalan tersebut menaiki bukit. Memang penat aku dibuatnya, tapi aku agak bersyukur kerana sekurang-kurangnya badan aku ni ada la jugak exercisenya. Hehe…
Kemudian berlaku fikiran kedua iaitu aku merasakan sudah pasti akan ada mana-mana orang dari arah Sri Petaling yang akan berhenti menolong aku menolak moto. Lagipun jelas kelihatan aku ni memang dari mesyuarat kerana aku sedang memakai jubah Mekah yang baru dihadiahkan oleh makcik aku yang baru balik Mekah.
Kemudian sekali lagi aku terfikir, betapa lemahnya iman dan keyakinan aku pada Allah. Bila datang je masalah, perkara pertama yang aku ingat ialah makhluk dan bukan Allah. Aku menggeleng-gelengkan kepala mengenangkan kelemahan diri sendiri.
Aku meneruskan menolak moto menaiki bukit tersebut. Nafas aku mula menjadi kencang. Maklumlah dah bertahun-tahun tak exercise. Tahajud pun malas… Memang benar, tak ada seorang pun dari arah Sri Petaling melalui jalan itu. Yang menaiki kereta mungkin ada, tapi yang menaiki moto tiada.
Dengan tak semena-mena aku terdengar bunyi moto di belakang aku mendekati aku dan dia memberi salam. “Assalamualaikum! Assalamualaikum bang! Sebab apa, minyak habis ke?” Tanya suara itu.
Alamak! Perasaan aku bercampur-campur. Antara gembira dan risau. Kerana suara itu bukan suara lelaki. Aku melihat rupa orang itu, dia berpakaian ala-ala pakaian sukan, wajahnya perempuan tetapi tak bertudung. Aku pun menjawab memberitahu minyak motoku habis.
Katanya, “Biar saya tolong”.
Aku yang tidak begitu jelas dengan percakapannya menjadi risau. Adakah dia menawarkan untuk tumpangkan aku ke stesen minyak untuk membeli minyak. Bagaimana mungkin sedangkan dia seorang perempuan. Aku takkan naik satu moto dengan perempuan. Maka aku bertanya, “Apa? Saya tak dengar”.
Katanya, “Biar saya tolak moto abang ke sana, di sana ada stesen minyak.”
Sekali lagi aku menjadi ragu-ragu kerana dia seorang perempuan dan jalan itu sedang menaiki bukit. Maka aku bertanya, “Boleh ke?”
Sambil tersenyum dia menjawab, “Boleh…”
Maka aku menaiki moto dan dia mula menolak. Kami mencuba beberapa kali untuk berjalan tetapi malangnya tidak berjaya. Aku menjadi sedikit kasihan melihat kesungguhannya menolong aku tetapi tidak berdaya.
Teringin untuk aku meminta agar bertukar moto, biar aku yang menolak. Tapi biasanya orang tak mahu begitu kerana bimbang kita akan melarikan motonya. Lagipun kalau dah tukar moto pun aku masih gagal menolak juga, jatuh lah saham aku! Muah hah hah…
Maka aku pun berkata, “Tak apa lah, memang susah sikit nak naik bukit. Biar saya tolak sendiri lah.”
Katanya, “Betul, kalau kita mula dari bawah tadi senang sikit. Kalau begitu biar saya pergi tolong beli minyak untuk abang.”
Jawabku, “Saya lah pulak yang tak ada botol. Tak apa lah. Terima kasih banyak-banyak ya sebab tolong. Saya tolak sendiri lah. Terima kasih.”
Maka dia pun mengucapkan salam dan meneruskan perjalanan. Aku terus menolak motoku sambil berasa malu kerana ditolong oleh seorang perempuan. Walaupun dia gagal menolong aku, tetapi jauh di sudut hati, aku amat menghargainya. Dalam keadaan malam, dan mungkin dia baru balik kerja, masih lagi dia sanggup menolong orang yang tidak dikenalinya dengan ikhlas.
Setelah berhempas pulas menolak moto akhirnya aku sampai di stesen minyak. Aku parkir moto aku di tepi pam minyak dan masuk ke dalam. Cashier pula memberitahu, pam sedang jammed, kena tunggu 3-4 minit. Oh, lega rasanya. Aku fikir kena tunggu beberapa jam.
Badan dah penat dan berpeluh-peluh. Maka aku melihat-lihat di dalam peti ais untuk membeli minumam. Aku membeli V-Soy sebotol dan setibanya aku di kaunter, pam minyak sudah berfungsi. Aku mengisi RM8 ke dalam tangki moto aku dan mula hidupkan enjin.
Sedang aku hidupkan enjin, sebiji moto berhenti berdekatan dengan kaunter kedai itu. Tak silap lagi, itu lah budak perempuan yang menolong aku tadi. Aku senyum dan menganggukkan kepala kepadanya. Dia juga tersenyum dan turun daripada motonya. Terkejut aku apabila dia turun daripada motonya sambil membawa tong minyak yang dibelinya di dalam kedai tadi. Mungkin dia mahu menjualnya semula.
Nampaknya memang dia benar-benar mahu menolong aku. Sangka aku, setakat tadi sahaja pertolongannya. Tak sangka sampai begitu sekali dia mahu menolong. Selepas keluar dari kedai itu, dia pun berkata, “Tadi saya cari abang tadi”.
Aku pun terhangguk-hangguk tanda appreciate dan berkali-kali mengucapkan terima kasih. Hanya Allah yang dapat membalas budi baik kamu. Aku pun balik ke rumah dalam keadaan tiada siapa yang tahu perkara itu melainkan Allah. Semoga dengan niatnya membantu aku tadi Allah jadikan asbab untuk dekatkan dirinya kepada Allah, amin!
Kongsi cerita ini dengan rakan anda!

Recent Comments