Cara untuk transfer file guna Filezilla.
Sekarang saya akan tunjukkan cara untuk transfer file guna Filezilla. Boleh juga gunakan cara ini untuk transferkan file installer WordPress ke dalam hosting anda untuk install WordPress.
Paparan Filezilla menunjukkan 2 bahagian utama iaitu kiri dan kanan, seperti gambarajah di bawah. Kiri terbahagi 2 dan begitu juga kanan terbahagi 2.
No.1 : File-file yang berada di dalam komputer anda. Anda boleh browse untuk mencari folder yang anda kehendaki.
No.2 : Kandungan bagi folder yang anda browse di No.1. Contohnya di No.1 anda memilih folder “WordPress” maka di No.2 ditunjukkan kesemua kandungan folder itu.
No.3 : File-file yang berada di dalam hosting anda. Anda boleh browse untuk mencari folder yang anda kehendaki.
No.4 : Kandungan bagi folder yang anda browse di No.3.
Kesimpulannya sebelah kiri adalah bahagian komputer anda. Manakala sebelah kanan adalah bahagian hosting anda.
Namun demikian, proses Upload atau Download hanya melibatkan No.2 dan No.4 sahaja.
Upload adalah proses memasukkan file daripada komputer anda ke dalam hosting. Manakala Download adalah proses memindahkan file daripada hosting ke dalam komputer anda.
Untuk Upload :
- Pilih folder yang dikehendaki di No.1. File-file dalam folder yang dipilih akan disenaraikan di No.2.
- Pilih mana-mana file dan folder yang hendak diupload di No.2.
- Tarik kesemuanya menggunakan mouse pergi ke bahagian No.4. Pastikan tempat simpan file yang akan diuploadkan itu dipilih di No.4. Contohnya jika ingin disimpan di /public_html maka pilih folder itu dahulu (di No.3) sebelum upload.
- Jika hanya 1 file sahaja dipilih di No.2, anda juga boleh gunakan double-click mouse untuk transfer ke No.4. Kerana itu, berhati-hati supaya jangan tertekan double-click pada mana-mana file secara tidak sengaja di No.2 kerana transfer akan berlaku.
Untuk Download :
- Pilih folder yang dikehendaki di No.3. File-file dalam folder yang dipilih akan disenaraikan di No.4.
- Pilih mana-mana file dan folder yang hendak didownload di No.4.
- Tarik kesemuanya menggunakan mouse pergi ke bahagian No.2. Pastikan tempat simpan file yang akan didownloadkan itu dipilih di No.2. Contohnya jika ingin disimpan di C:\Users\admin\Desktop\ maka pilih folder itu dahulu (di No.1) sebelum download.
- Jika hanya 1 file sahaja dipilih di No.4, anda juga boleh gunakan double-click mouse. Kerana itu, berhati-hati supaya jangan tertekan double-click pada mana-mana file secara tidak sengaja di No.4 kerana download akan berlaku.
Pengenalan kepada FTP Client Filezilla
Untuk memudahkan anda untuk upload file ke dalam hosting, selain daripada menggunakan File Manager di dalam cPanel, anda juga boleh menggunakan software FTP.
FTP ialah singkatan kepada File Transfer Protocol iaitu protokol untuk pemindahan file sama ada ke dalam server ataupun ke luar server. Ini bermakna, kedua-dua proses Upload dan Download boleh dilakukan melalui protokol ini.
Kewujudan software FTP sangat membantu dalam urusan teknikal internet. Prosesnya hampir sama seperti Copy dan Paste dalam komputer anda.
Terdapat banyak software FTP di dalam internet. Ada yang free dan ada yang berbayar. Sekarang saya akan memperkenalkan salah satu daripada software FTP yang percuma iaitu Filezilla.
Sebenarnya Filezilla bukanlah perkara baru bagi kebanyakan orang. Tetapi bagus juga jika diterangkan serba sedikit tentangnya. Mudah-mudahan menjadi panduan bagi mereka yang belum mengetahuinya.
Untuk download installer Filezilla, anda boleh pergi ke website ini, http://filezilla-project.org. Download Filezilla Client. Kemudian install ke dalam komputer anda.
Paparan pertama yang anda akan lihat setelah membuka Filezilla adalah seperti di bawah.
Filezilla boleh digunakan untuk seberapa banyak website yang anda mahu. Untuk membezakan antara website itulah anda perlu membuat akaun untuk setiap satu website. Terutamanya apabila website tersebut berada di dalam hosting yang berbeza.
Klik pada butang seperti dalam gambarajah di atas untuk membuka Site Manager.
Pop-up seperti ini akan muncul. Berikut adalah butiran yang anda perlu isi.
New Site : Namakan akaun anda. Boleh sahaja anda letakkan nama website anda. Sekadar untuk pengenalan.
Host : Masukkan URL website anda. Contohnya http://lamansesawang.com
Port : 21
Logon Type : Normal
User : Username cPanel hosting anda.
Password : Password cPanel hosting anda.
Tekan OK jika sudah selesai. Jika anda ingin terus menggunakannya, klik Connect.
Upload installer WordPress menggunakan cPanel.
Di dalam cPanel hosting anda, klik pada ikon File Manager. Jika anda menggunakan domain utama untuk hosting anda, file untuk website ini sepatutnya diupload ke dalam folder bernama public_html.
Di dalam File Manager, klik ikon Upload di atas. Di dalam halaman upload ini, anda perlu browse komputer anda dan klik pada file zip tadi.
Setelah selesai upload, kembali kepada File Manager. Klik sekali pada nama file zip yang baru diupload tadi untuk mengaktifkannya. Kemudian klik ikon Extract. Ini akan extract file zip tadi di dalam hosting anda.
Setelah selesai anda mungkin akan melihat satu folder baru bernama “WordPress” terhasil. Sekarang anda perlu mengubah kesemua file dan folder yang ada di dalam folder WordPress baru itu ke luar.
Double klik folder itu untuk masuk ke dalamnya. Kemudian klik “Select All” di atas. Ini akan mengaktifkan (memilih) semua files dan folder yang ada.
Kemudian klik ikon “Move File” di atas. Satu window pop-up bertajuk “Move” akan muncul. Ubah nama “/public_html/wordpress/” kepada “/public_html/“.
Jika ada window pop-up ke-2 bertajuk “Delete” muncul, ia akan bertanya sama ada ingin delete kesemua files dan folder itu ataupun tidak. Klik “Cancel” pada pop-up ke-2 itu.
Pada pop-up pertama tadi, klik “Move file(s)“.
Setelah selesai, anda akan dapati senarai files dan folder tadi akan hilang. Klik pada “Up One Level”. Maka anda akan kembali pada halaman public_html. Anda akan dapati kesemua files dan folder tadi telah pun dipindahkan ke dalam public_html. Proses upload installer WordPress telah pun selesai.
Dalam artikel yang seterusnya, saya akan menerangkan cara yang lebih mudah daripada menggunakan cPanel, iaitu menggunakan software FTP.
Install WordPress cara manual.
Untuk membuat website menggunakan WordPress, kita perlu install wordpress terlebih dahulu. Cara untuk install WordPress boleh dibahagikan kepada 2 cara. Iaitu sama ada menggunakan cara manual ataupun automatik.
Dalam artikel ini saya akan menerangkan cara untuk install WordPress cara manual. Bagus jika anda dapat biasakan diri dengan cara manual kerana banyak perkara teknikal dapat dipelajari daripadanya.
Oleh kerana WordPress terdiri daripada 2 bahagian seperti yang saya terangkan di dalam artikel sebelum ini, maka kedua-duanya perlu disediakan dahulu. Iaitu :-
1. File installer WordPress.
2. MySQL Database.
Download file installer WordPress.
Langkah pertama ialah, anda perlu download file installer WordPress di dalam website WordPress.org. Setelah anda download file installer tersebut, anda akan mendapat satu file dengan format zip. Namanya seperti ini, “WordPress 3.2.1″ mengikut version pada waktu itu.
Upload installer WordPress ke dalam hosting.
Seterusnya anda perlu memasukkan kesemua files dan folder installer itu ke dalam hosting anda. Untuk melakukan perkara ini, anda boleh menggunakan File Manager di dalam cPanel hosting anda ataupun gunakan software FTP seperti FileZilla. Maklumat lanjut tentang perkara ini akan diterangkan di dalam artikel akan datang.
Buat MySQL database.
Anda perlu membuat nama bagi satu database baru dan satu user serta password bagi database tersebut. Kemudian anda perlu link antara database baru tadi dengan user yang baru dibuat tadi. Kesemuanya boleh dilakukan di dalam cPanel. Maklumat lanjut tentang perkara ini akan diterangkan di dalam artikel akan datang.
Edit file wp-config-sample.php.
Selepas anda membuat MySQL database, anda perlu edit file wp-config-sample.php supaya ia mengandungi maklumat database anda. Anda perlu Rename nama file ini kepada wp-config.php dan edit isi kandungannya. Maklumat lanjut tentang perkara ini akan diterangkan di dalam artikel akan datang.
Install WordPress.
Setelah kedua-dua perkara tadi disediakan, maka anda bolehlah terus menaip address website anda sekarang. Maka anda akan dibawa ke halaman install yang sangat ringkas.
Di situ anda akan mengisi maklumat seperti tajuk website, alamat email bagi admin, nama bagi admin dan password. Setelah mengisi maklumat tersebut, anda telah pun berjaya install website wordpress secara manual!
Perkara asas tentang WordPress.
Seperti yang saya ceritakan di dalam artikel sebelum ini, WordPress adalah salah satu daripada platform yang boleh kita gunakan untuk menghasilkan website. Sama ada website tersebut akan digunakan sebagai website syarikat, sekolah, masjid, korporat, peribadi atau sekadar blog biasa.
WordPress dan lain-lain digelar sebagai “platform” untuk menghasilkan website adalah kerana mereka mempunyai “rangka” untuk menghasilkan sebuah website dengan segera.
Di sini saya akan cuba menerangkan beberapa perkara asas tentang WordPress.
1. Menggunakan bahasa PHP dan MySQL database.
Jika orang bertanya, website kamu guna jenis apa? Maka jawablah PHP, jika anda menggunakan WordPress. Kerangka utama bagi files di dalam website WordPress menggunakan PHP. Tetapi isi kandungan website WordPress tidak disimpan di dalam files berbentuk PHP. Sebaliknya ianya akan disimpan di dalam database yang disebut MySQL.
Jadi sesebuah website WordPress itu terdiri daripada 2 komponen iaitu Files PHP dan MySQL database. Kedua-dua ini diperlukan semasa proses installation WordPress dijalankan.
2. Mempunyai 2 bahagian.
Iaitu bahagian admin dan bahagian depan (website). Bahagian admin adalah bahagian “di sebalik tabir” di mana kesemua orang yang diberi kuasa untuk menguruskan website tersebut membuat kerjanya. Sama ada untuk mengubah rupabentuk website, menambah posts, pages dan sebagainya.
Bahagian kedua ialah bahagian hadapan iaitu website itu sendiri. Di sini adalah paparan website tersebut kepada umum.
3. Mempunyai 2 jenis halaman untuk website.
Jenis pertama adalah jenis Posts. Iaitu khusus untuk paparan berbentuk blog. Ia adalah halaman berbentuk dinamik. Di mana post baru akan dipaparkan di atas post sebelumnya di dalam website. Jumlah senarai post pada website boleh ditentukan oleh admin.
Jenis kedua adalah jenis Pages. Ini adalah halaman statik bagi sesebuah website WordPress. Ia tidak akan dipaparkan seperti blog. Sebaliknya ia akan dipaparkan seperti satu halaman sahaja. Jika kita membuat page yang kedua, ia akan menghasilkan halaman yang lain dan tidak akan disenaraikan seperti blog di dalam website.
4. Theme untuk rupabentuk design website.
Jika Joomla menggunakan nama “Template”, WordPress pula menggunakan nama “Theme”. Ia adalah sekumpulan files dan images yang memberikan rupabentuk dan rekabentuk design bagi website tersebut. Apabila kita menukar Theme, maka bertukarlah rupabentuk website kita tersebut. Jika kita mempunyai Theme yang cantik dan canggih maka demikianlah website kita akan menjadi website yang cantik dan canggih.
5. Plugins menambahkan fungsi asas WordPress.
Fungsi asas WordPress adalah menambah post dan pages. Selain daripada itu, WordPress juga mampu menjalankan fungsi lain dengan bantuan Plugins. Misalnya jika kita inginkan borang pada halaman “Hubungi Saya” maka kita perlu mencari Plugins yang sesuai untuk tujuan itu. Dan bermacam-macam lagi fungsi Plugins di dalam WordPress.
6. WordPress sejenis website yang dinamik.
Website dinamik dan website statik sangat jauh bezanya. Website statik adalah website yang kandungannya tidak bertambah dari masa ke semasa. Website dinamik pula adalah website yang kandungannya bertambah dari masa ke semasa. Fungsi Posts di dalam WordPress membolehkan perkara ini berlaku. Dalam masa yang sama, website dinamik sangat disukai oleh search engine kerana mereka sangat suka website-website yang aktif menambahkan kandungannya.
7. Sangat mudah menggunakan WordPress.
Apabila hendak menulis artikel sama ada dalam bentuk Posts atau Pages, caranya amat mudah dan halaman menulisnya dibekalkan dengan editor seakan-akan MS Words. Kita juga boleh menggunakan halaman HTML sekiranya ingin membuat apa-apa perubahan dari segi HTML artikel tersebut.
Demikianlah serba sedikit perkara asas yang dapat saya tulis di sini. Jika anda ingin mencuba WordPress, anda boleh lakukannya dengan cara membuat blog percuma dengan WordPress.com. Jika anda sudah bersedia, anda bolehlah membeli nama domain dan plan hosting untuk membuat sendiri blog WordPress anda.
Perniagaan internet menggunakan blog WordPress.
Semasa saya mula-mula belajar menjalankan perniagaan internet, saya menggunakan halaman html biasa sahaja. Ataupun lebih dikenali sebagai sales page, squeeze page atau minisite. Bentuk halaman seperti ini hanya memerlukan beberapa barisan kod html selain artikel tulisan kita dan kebiasaannya memaparkan bentuk halaman yang terlalu asas dengan beberapa pages sahaja.
Halaman seperti ini sesuai digunakan jika kita ingin menjual satu produk khusus. Kesemua maklumat lengkap tentang produk tersebut dimuatkan hanya ke dalam satu halaman tersebut. Di situlah pengenalan tentang produk dilakukan, soalan-soalan lazim, testimonial, harga, promosi, bonus dan di halaman itu juga lah butang belian dimuatkan.
Namun demikian sekiranya kita bercadang untuk membuat blog, maka penggunaan halaman seperti ini tidak sesuai. Walaupun seseorang itu begitu mahir mengubahsuai kod html supaya dapat menambah-nambah bilangan page setiap kali artikel baru ditulis, namun ianya sangat-sangat membuangkan masa.
Kerana itulah ramai orang apabila ingin membuat blog sendiri atau untuk tujuan perniagaan internet, mereka akan menggunakan platform blog atau CMS seperti Drupal, Mambo, Joomla, B2Evolution, Nucleus, Blogger atau WordPress.
Dengan menggunakan salah satu daripada platform ini, akan membantu daripada pelbagai segi di dalam proses membuat blog perniagaan internet.
Bermula tahun 2007 saya berkenalan dengan Joomla. Saya amat tertarik dengan kepelbagaian fungsi di dalam Joomla, terutamanya elemen “user access” yang mampu mempelbagaikan kawalan di dalam isi kandungan sesebuah website Joomla.
Dari masa ke semasa saya mempelajari Joomla dan akhirnya berjaya membuat dan menjual beberapa website menggunakan Joomla. Kecanggihan di dalam Joomla membuatkan sesebuah website Joomla itu nampak mantap dan mahal!
Dalam masa yang sama, saya juga menggunakan platform Blogger dan WordPress untuk beberapa website peribadi atas dasar suka-suka.
Walaupun saya sering mengutamakan Joomla tetapi jauh di sudut hati, saya amat tertarik dengan WordPress kerana ia amat mudah dan user friendly. Blogger juga mudah dan user friendly tetapi bagi saya fungsi di dalam Blogger sangat terhad. Sorry pakcik Google! (Blogger dimiliki oleh Google).
Sehinggalah bermula tahun 2010, di mana saya membuat keputusan untuk mula menggunakan WordPress sebagai salah satu daripada blog affiliate saya secara serius. Dan akhirnya saya mendapati bahawa WordPress lebih mudah digunakan jika kita ingin membuat blog berbanding platform blog atau CMS yang lain.
Secara asasnya pun, WordPress memang lah platform untuk membuat blog dan bukannya CMS. Namun dari masa ke semasa semakin banyak penambahbaikan dibuat di dalam WordPress sehingga sekarang ini WordPress juga mampu menyaingi platform CMS yang lain.
Dan bagi saya pula, sekarang ini saya lebih suka menggunakan WordPress walaupun customer saya mahukan website berbentuk CMS dan bukannya blog. Kerana WordPress sudah menjadi semakin canggih dan mampu menghasilkan website yang nampak mantap dan mahal!
Pokok pangkal penggunaan WordPress adalah pemilihan Theme dan Plugins nya. Theme adalah rupabentuk design website WordPress tersebut. Manakala Plugins adalah fungsi-fungsi tambahan kepada sesebuah website WordPress tersebut.
Kedua-dua Theme dan Plugins boleh didapati di dalam halaman WordPress. Kebanyakan daripadanya adalah percuma. Dan ada juga sebahagian daripada Theme dan Plugins WordPress adalah berbayar.
Sehingga sekarang saya amat berpuas hati dengan penggunaan WordPress. Bagi saya, WordPress adalah yang terbaik!
Sejarah internet zaman sekolah dahulu.
Walaupun telah sekian lama mengenali kewujudan internet seperti kebanyakan orang namun demikian perkataan website boleh dikatakan baru juga bagi saya. Pada zaman saya mula menggunakan internet, Google masih belum wujud. Website telah banyak wujud tetapi saya tidak begitu menggunakan apa-apa website sama ada untuk mencari maklumat atau lain-lain tujuan.
Pada waktu itu saya tidak merasakan bahawa kewujudan website itu sebagai “something”. Boleh dikatakan saya beranggapan website itu “nothing”. Saya langsung tidak merasakan perlu untuk mengunjungi mana-mana website untuk sebarang tujuan. Satu-satu caranya saya gunakan untuk mencari maklumat adalah dengan membaca buku. Maka banyaklah masa saya di library sekolah dan di rumah pula saya sibuk membaca buku-buku (termasuk kitab-kitab agama, chewah!) yang ada di rumah.
Semasa saya di sekolah menengah iaitu sekitar tahun 1997, sekumpulan anak muda dari sebuah syarikat telah datang ke sekolah saya. Mereka membuat promosi penggunaan aplikasi komputer bagi tujuan mencari maklumat tentang sebarang topik. Semasa mendengar taklimat tersebut, semua murid-murid sangat teruja dengan penerangan mereka.
Manakan tidak, dengan sekali carian, bermacam-macam maklumat tentang topik tersebut akan disenaraikan di dalam komputer tersebut. (Bunyinya seperti search engine zaman sekarang).
Saya sudah lupa nama produk tersebut. Anak-anak muda tersebut meletakkan syarat kepada pihak sekolah agar menyediakan sekurang-kurangnya 30 biji komputer dengan sambungan internet dan sedikit bayaran. Kami murid-murid sangat berharap agar pihak sekolah dapat menyediakan perkara ini. Tetapi akhirnya kami diberitahu bahawa pihak sekolah tidak bersetuju untuk melanggan servis tersebut.
Sehingga habis belajar di sekolah itu, masih ada sedikit perasaan rugi di dalam hati saya kerana tidak dapat menggunakan aplikasi tersebut. Walaupun sehingga sekarang saya tidak tahu aplikasi apa yang mereka tunjukkan itu. Kalaulah saya dapat ingat namanya, boleh juga cari melalui Google.
Seingat saya, waktu saya mula menggunakan internet untuk mencari sesuatu maklumat adalah semasa di Matrikulasi. Pada waktu itu, saya giat menjual Minyak Attar di bilik sendiri. Minyak yang menjadi fokus saya ialah Kasturi. Oleh kerana ianya dikatakan disebut di dalam hadis maka saya menggunakan internet untuk mencari maklumat, untuk membuat poster iklan.
Demikianlah sedikit kisah sejarah pada waktu itu. Mungkin keadaan sangat berbeza pada zaman sekarang di mana sama ada anak-anak kecil mahupun atuk nenek tua bangka, semuanya mengenali internet, tahu penggunaan website dan mereka sering menggunakannya.






